Ahad, 24 Mei 2015

Doa Majlis Malam Penghargaan Pelajar 2014

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim
Kami merafakkan rasa kesyukuran kepada-Mu bersempena dengan Majlis Malam Penghargaan ASASI 2014 pada malam ini. Sesungguhnya pada hari ini kami berkumpul kerana-Mu Kami berkumpul untuk mengisi seluruh hidup kami dengan keredhaan-Mu.


Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, ampunkanlah dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami. Kau kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sejak kecil lagi. Kau ampunkanlah dosa guru-guru kami, sahabat-sahabat kami, serta dosa sekalian muslimin muslimat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah kembali kepada-Mu

Ya Allah , Tuhan Yang Maha Mengetahui ,
Semoga perjalanan kami di Kampus Timur ini tidak menjadi pengakhiran kepada sebuah ikatan ukhwah yang dibina sepanjang keberadaan kami di Kampus Timur ini. Sesungguhnya ukhwah yang dibina itu adalah senjata mengukuhkan perjuangan agama Islam.
Berkatilah usaha-usaha kami , mudah-mudahan (dengan usaha-usaha kami ini) , para pelajar yangberkumpul dalam dewan ini akan menjadi pelajar yang cemerlang, terbilang , pelajar yang disegani dan dihormati, samada dalam aspek akademik mahupun kokurikulum seterusnya mampu melahirkan generasi pelajar yang berjaya di dunia mahupun di akhirat.

Ya Allah, Ya Fattah, Ya Wahhab
Sesungguhnya, perpaduan kaum akan menjadikan negara kami aman dan tenteram di mana keadaan ini membolehkan negara merancang dan melaksanakan pembangunkan dengan lancar untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat. Justuru, Kau kurniakanlah perpaduan dalam kalangan kami walaupun kami terdiri daripada berlainan bangsa dan agama agar dengan perpaduan ini kami dapat menaikkan imej negara di mata dunia. Kau pupuklah sifat kerjasama dan semangat setiakawan dalam diri kami dan Kau jauhkanlah kami daripada mewujudkan perbalahan dan perpecahan dalam kalangan kami agar kami dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.

Ya Munzilal Barakah wa Ya Kasyifalghummah,
Kurniakanlah Kepada kami kekayaan ilmu pengetahuan dan hiasilah diri kami dengan sifat lemah-lembut, dan muliakanlah kami dengan ketaqwaan dan indahkanlah diri kami dengan kesihatan.

Ya Allah, Ya Munzilar Rahmat Ya Fatihal Barakat,
Tunjukkanlah kami taufiq dan hidayah jalan yang benar. Jadikanlah kami insan yang suka mendengar kebaikan lantas melakukannya, begitu juga jadikanlah kami insan yang apabila mengetahui keburukan lantas bersegera meninggalkannya.


Ya Allah, Ya Allah, Ya Aalim, Ya Qaadhial Hajat, jadikanlah pertemuan kami ini sebagai pertemuan yang diberkati dan dirahmati. Dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini sebagai perpisahan yang Engkau pelihara daripada marabahaya dan keburukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan